By Wan Saleh
Published February 5, 2022 in Hardware

Gear Acquisition Syndrome: Sindrom Pemerolehan Barang

Menangis tengok hardware baru kawan-kawan.

·
Last updated 3 months ago
Gear Acquisition Syndrome: Sindrom Pemerolehan Barang

Image from Unsplash

Ini bukan perkara yang direka-reka. Ini ialah fenomena benar yang dihadapi semua ahli muzik, jurutera bunyi dan pemilik studio.

Setiap malam sebelum tidur teringat-ingat compressor 1176 tu. Terkenang-kenang preamp LA-610 tu. Termimpi-mimpi reverb Strymon tu.

History browser pula penuh dengan laman-laman web alat muzik: Sweetwater, Thomann, Music Bliss.

Pernah tak anda mengalami semua ni?

Apa yang anda alami ialah GAS, atau Sindrom Pemerolehan Gear, dan anda tidak bersendirian. Setiap pemuzik pernah mengalami “penyakit” ini pada satu ketika dalam kerjaya kita. Ini adalah keinginan membuak-buak untuk mengembangkan koleksi peralatan anda, dan walau kita cuba mengelak tapi akhirnya kalah jua. Poket semakin kering, tetapi apa peduli asalkan alatan-alatan cantik itu dapat dibeli.

Apa itu GAS?

GAS, juga dikenali sebagai Gear Acquisition Syndrome, adalah keadaan kronik dan progresif yang melanda ramai pemuzik, pemilik studio, dan jurutera-jurutera bunyi bila mereka berada dalam bidang ini dalam seberapa lama.

Dalam bahasa mudah GAS ialah keinginan yang tidak putus-putus untuk membeli dan memiliki instrumen dan peralatan yang dianggap sebagai pemangkin tenaga kreatif dan membawa kegembiraan.

Masalah yang mahal

Bila kita berbincang tentang gear, terma ini bukan sahaja khas untuk alat-alat muzik (gitar dan amp-amp, pedal-pedal efeks, bass, violin, flute dan sebagainya). Tapi juga kepada hardware-hardware studio: mikrofon, kompresor, eq, preamp, interface dan lain-lain.

Kebanyakan kita pemuzik mengalami masalah keinginan kuat untuk menambah koleksi barangan kerja kita. Dan kita membeli alat-alat muzik dan hardware hampir secara kompulsif — lebih dari apa yang kita perlukan. Kita selalu menghabiskan lebih banyak masa membeli dan mencari peralatan daripada bermain muzik atau menghasilkan lagu — ia adalah ketagihan: sukar untuk dihentikan dan sejenis ketagihan yang amat mahal.

Tingkah laku ini adalah ciri mereka yang terjejas dengan GAS. Berfikir tentang gear dan mencari strategi untuk menambah koleksi rig seseorang, lebih diutamakan daripada berlatih dan bermain, sehingga satu tahap apabila berurusan dengan peralatan menjadi lebih penting daripada membuat muzik. Kebanyakan masa rekreasi sehari kemudiannya akan dibelanjakan untuk menyelidik peralatan.

Salah seorang pemain gitar menggambarkan betapa kompulsifnya keinginan untuk melihat, membaca tentang gear, menonton video YouTube tentang reviu peralatan, boleh menjadi luar biasa:

“Apabila GAS saya bermula, hanya satu penyelesaian sahaja dan itu adalah membeli peralatan yang akan menyibukkan saya seketika. Menjelajah internet, mencari eBay, trolling untuk instrumen atau gear itu, bilakah ia akan berakhir?”

Internet dan YouTube

Internet memainkan peranan utama dalam mencetuskan GAS kerana pemuzik dengan cepat mendapat maklumat tentang instrumen atau alatan dan gear baharu. Pemuzik yang mempunyai mimat mendalam untuk gear mungkin tidak mahu terlepas tawaran eksklusif atau terhad edisi instrumen, dengan harapan bahawa peralatan baru akan meningkatkan skil permainan mereka atau sekurang-kurangnya membenarkan mereka untuk mendapatkan peralatan yang jarang dimiliki oleh beberapa pemuzik lain.

Terlalu ramai YouTuber yang juga pemilik-pemilik studio dan juga pemuzik-pemuzik menjadikan channel mereka sebagai tempat untuk mengulas barangan-barangan, alatan-alatan muzik dan plugin-plugin baharu. Kepada mereka yang hidup dalam keadaan GAS, semua ini akan menambah nafsu untuk membaca, menonton dan akhirnya mengeluarkan wang untuk mebeli.

Mengumpul Plugin

Di Malaysia, disebabkan inflasi teruk terhadap peralatan-peralatan muzik yang tidak setimpal dengan bayaran sebagai pemuzik, jurutera bunyi dan sebagainya, kita lebih terdorong untuk mengumpul VST, plugin-plugin audio yang kebanyakannya merupakan emulasi hardware-hardware dan gear-gear mahal.

Mungkin masalah utama dunia hari ini ialah kita mempunyai terlalu banyak pilihan dan ia begitu mengelirukan. Saya boleh mencuba plugin baharu setiap hari tetapi selalunya ia tidak membantu saya, dan dalam folder plugin saya ada beratus plugin yang diinstall tetapi jarang sangat disentuh.